Pages

Thursday, May 1, 2014

Jenis botol susu plastik yang mana yang selamat untuk digunakan?

Salam semua, lama rasanya tak post cerita baru. Tiada masa untuk melihat computer semenjak Aisyah dah mula berjalan. Habis semuanya diusik dan dicapai. Janganlah letak barang berdekatan dengan tepi meja, sedaya upaya dijongketkan kaki untuk capai.

Sekarang Aisyah dah pun berumur 1 tahun dan 3 bulan. Maka sudah 1 tahun dan 3 bulan jugalah Aisyah masih pakai botol yang sama…hehe siapalah ibu si Aisyah ni ye…

Bercakap mengenai botol, ada member kat office, anak dia dah berumur 6 bulan dan dia bercadang untuk tukar botol baru dan tanya pendapat saya. Godek punya godek internet, di bawah adalah hasilnya.

Terdapat banyak jenis botol plastik. Jenis botol plastic ini dapat di kenalpasti melalui tanda segitiga yang didalamnya terdapat nombor daripada angka 1 ke 7. Tanda ini dikeluarkan oleh The Society of Plastic Industry pada tahun 1998 dan diikuti oleh organisasi lain seperti ISO.

Secara ringkasnya, nombor 1 sehingga 7 ini adalah ‘Plastic Identification Number’ yang digunakan untuk mengklasifikasikan bahan yang digunakan oleh botol plastic tersebut. Lebih tinggi nombor yang digunakan maka lebih kurang pusat recycle yang akan ambil bahan tersebut untuk diproses.

Namun nombor yang lebih atas sama dengan 5 adalah selamat digunakan. Kebanyakan botol plastic di luar menggunakan bahan daripada segitiga nombor 1. Amat penting untuk mengenalpasti nombor tersebut kerana setiap botol plastic yang digunakan akan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser.



Ini adalah ringakasan bahan yang digunakan. Ada banyak jenis bukan? Maka, yang mana selamat untuk digunakan ke atas bayi dan kanak – kanak?
Dibawah adalah jawapannya!


Botol susu yang selamat digunakan adalah:
  • Botol susu berwarna putih susu yang menggunakan bahan Polypropylene (PP), dengan segitiga bernombor 5
  • Botol susu berwarna cerah yang menggunakan bahan Triton (T) dengan segitiga bernombor 7
  • Botol susu berwarna kekuningan (honey coloured) yang menggunakan bahan Polyamide (PA) atau Polyether Sulphate (PES) dengan segitiga bernombor 7
  • Jika botol susu berwarna cerah yang menggunakan bahan polycarbonate (PC) atau bahan lain walaupun mempunyai segitiga bernombor 7, TIDAK selamat digunakan.


Mesti anda tertanya – tanya kenapa segitiga bernombor 7 ada yang selamat digunakan dan ada yang tidak selamat digunakan?

Sebenarnya segitiga bernombor 7 ini adalah misteri. Untuk segitiga bernombor 1 sehingga 6, ianya dikategorikan kepada 1 jenis bahan sahaja. Namun untuk nombor 7, ianya adalah untuk semua jenis plastic selain daripada 1 sehingga 6. Umumnya, nombor 7 ini digunakan untuk bahan Polycarbonate (PC) yang mengandungi BPA (bisphenol A).

BPA tidak baik untuk kesihatan adalah kerana unsur ini menyerupai hormone estrogen wanita. Ianya akan mengganggu system peranakan dan system saraf yang boleh menyebabkan kanser, ketidakseimbangan imun dan fungsi otak, obesity, diabetis, sakit jantung, hyperaktif dan cepat mendapat haid dikalangan kanak-kanak wanita (Environment California, 2007). Sebab itu sekarang kita dapat melihat kanak – kanak lebih cepat haid berbanding zaman dahulu. Dan disebabkan itu juga, botol plastic yang mengandungi BPA diharamkan di US, Kanada dan negara-negara lain.

Di Malaysia, botol yang selalu digunapakai yang tidak mempunyai BPA adalah PES ataupun PP.


Antara kedua – duanya, yang mana lebih baik?

Botol susu PES
 Botol susu PP
Warna kekuningan
Warna putih susu
Ketahanan suhu sehingga 180 darjah 
Ketahanan suhu sehingga 110 darjah
Tidak mudah pecah
Senang calar, kurang keras berbanding PES 
Senang dibersihkan dan jangka hayat lebih lama
Jangka hayat terhad


Jika tanya pendapat saya, saya lebih suka botol PES, dan untuk Aisyah saya pilih brand Basilic, wide Neck. Avent jika tak silap saya, tidak lagi mengeluarkan botol jenis PES. Dan yang masih gunakan PES adalah NUK, Anakku dan Basilic.

Kenapa Basilic?
  • Cantik
  • Colourful
  • Gambar lembu tu tidak mudah tanggal walaupun steril setiap hari J
  • Botol saiz kecil = 7 oz (boleh pakai lama)

Setakat ni, Aisyah ada 3 botol Basilic, 1 botol Anakku dan 2 botol stainless steel PuraKiki. So memang takkan beli lain sampailah Aisyah dah kena pakai botol besar.
Nota kaki :


Bagi mereka yang ada keupayaan membeli, baiklah beli botol stainless steel ataupun kaca kerana kedua-dua bahan ini sudah pasti tiada bahan kimia yang berbahaya untuk bayi. Berbelanja lebih untuk anak tidak akan rugi, percayalah!

Tuesday, March 12, 2013

Jaundis @ Demam Kuning

Jaundis atau dikenali di kalangan masyarakat melayu sebagai demam kuning adalah satu keadaan di mana paras bilirubin di dalam darah melebihi daripada jumlah normal. Ianya normal berlaku kepada bayi yang baru lahir yang merujuk kepada warna kuning pada kulit dan putih mata. 

Apa itu bilirubin? Bilirubin adalah bahan kimia kekuningan dalam hemoglobin yang membawa oksigen dalam sel darah merah. Semasa penguraian sel darah merah, badan akan membina sel-sel yang baru dan sel-sel darah merah yang lama akan melalui hati. Sekiranya proses sel darah merah yang dihasilkan lebih cepat daripada hati menguraikan bilirubin, bilirubin akan terkumpul di dalam badan dan kulit akan kelihatan kuning.


Kenapa jaundis berlaku kepada bayi? Ini kerana:

  1. Bayi yang baru lahir menghasilkan sel darah merah yang lebih banyak daripada orang dewasa (bermaksud lebih bilirubin yang terhasil)
  2. Hati bayi yang baru lahir belum cukup matang untuk memproses/menguraikan bilirubin dalam sel darah merah
  3. Terlalu banyak bilirubin yang diserap balik daripada usus ke dalam badan sebelum bayi dapat membuangnya sebagai najis.
  4. Punca utama jaundis pada bayi boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan yang besar iaitu jaundis fisiologikal dan jaundis patologikal.
Jaundis fisiologikal merupakan jaundis ringan yang berlaku disebabkan ketidakmatangan hati bayi untuk memproses bilirubin. Ia biasanya muncul pada 2 hingga 4 hari umur dan hilang oleh umur 1 hingga 2 minggu.

Jaundis patologikal pula merujuk kepada jaundis yang berlaku disebabkan oleh keadaan tertentu seperti ketidakserasian kumpulan darah (Rhesus atau masalah ABO) dan kekurangan G6PD.

Ada juga jaundis yang dikenali sebagai Jaundis Susu Badan

  1. Jaundis bayi yang menyusu susu badan (breastfeeding jaundice) : pada segolongan kecil bayi-bayi yang menerima susu badan terdapat elemen dehidrasi dan tidak cukup makan (underfeeding) terutamanya jika berat badan menurun melebihi 10% berat lahir. Ibu-ibu digalakkan memberi susu badan lebih kerap (setiap 1-2jam) dan memberi bayi glukos 5% (dengan sudu) jika SB terlalu tinggi. Fototerapi dimulakan bila diperlukan tertakluk kepada nilai SB.
  2. Jaundis susu badan (breastmilk jaundice): jaundis yang berpanjangan ini dikaitkan dengan jumlah non-esterified fatty acid (NEFA) pada susu badan sesetengah ibu. NEFA dipercayai mencegah konjugasi bilirubin, berlumba dengan bilirubin untuk ikatan dengan protein-protein Y dan Z dan meningkatan sirkulasi enterohepatik. Jika SB tidak mencapai paras bahaya, tiada rawatan diperlukan. Jika paras SB terlalu tinggi pemberhentian susu badan dan gantian dengan susu formula boleh mencepatkan penurunan paras serum bilirubin. Ibu-ibu mestilah diberitahu bahawa jaundis susu badan adalah tidak bahaya.
Dengan menjalankan ujian darah (contoh darah lazimnya diambil dari lengan atau tumit bayi), doktor akan dapat menentukan paras bilirubin dan tahap jaundis dalam bayi anda.

Bayi yang mengalami jaundis harus selalu disusukan (2-3 jam sekali) supaya kadar penyahidratan dalam tubuhnya terkawal dan dia akan selalu kencing dan buang air besar. Ini akan membantu mengeluarkan toksik dari badannya dan membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Bagaimana hendak tahu yang bayi terkena jaundis?


Jaundis selalunya berlaku pada hari ke-2 atau ke-3 dan akan memuncak pada hari ke-4 hinggalah hari ke-7. Anda boleh memeriksa sendiri seteruk mana keadaan jaundis bayi anda. Bukalah baju lalu periksa muka dan bahagian tubuhnya di bawah cahaya matahari. Anda mungkin mendapati yang muka bayi nampak kemerah-merahan atau kekuningan. Seterusnya, tekan dengan perlahan bahagian pipi bayi dengan jari telunjuk anda dan lepaskan jari anda. Perhatikan warna kulit bayi apabila jari anda ditarik. Jika ia berwarna kuning pekat, ulangi proses itu di dadanya pula. Jika di dadanya juga menunjukkan warna kuning, anda harus bawa bayi pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,

Jaundis juga membuat bayi sering merasa mengantuk. Jika anda perhatikan bahawa bayi anda sentiasa kelihatan leti dan kurang cergas menyusu, anda harus mendapatkan nasihat doktor.

Apa yang harus dijangkakan?
  1. Simptom jaundis selalunya akan berkurangan sekitar hari ke-7 dan akan hilang sepenuhnya pada hari ke-10 hingga ke-14
  2. Jururawat akan mengambil sampel darah bayi (jika di klinik kesihatan, darah di ambil di kaki, manakala jika di hospital, darah akan diambil di tangan) dan dihantar ke makmal untuk melihat nilai bacaan SB (serum bilirubin), dan diberi rawatan sekiranya perlu.
  3. Pada amnya, kekuningan pada bayi bermula pada muka dan akan menurun ke bawah hingga ke kaki bayi. Anggaran kasar paras bilirubin pada bayi:


** Masa Aisyah kena jaundis, setiap hari kena pergi klinik kesihatan untuk periksa paras SB, hanya bayi yang bawah daripada 9.5mg/dl yang dikira selamat daripada jaundis dan tidak perlu pemeriksaan lanjut.


Rawatan

Pada amnya, jaundis fisiologikal tidak memerlukan rawatan. Rawatan untuk hyperbilirubinaemia tak langsung (indirect) yang lebih serius adalah :
  1. Fototerapi biasanya dilakukan bila jaundis berlaku dalam masa 24 jam selepas lahir (walau apapun paras bilirubin) atau apabila serum bilirubin melebihi 200 umol/L. Fototerapi mengakibatkan bilirubin indirect berubah struktur dari yang tidak larut kepada yang larut dan diekskresi di dalam urin dan hempedu. 
  2. Penukaran darah (Exchange transfusion) – ini dilakukan apabila paras SB mencecah 340 umol/L atau lebih. Ini boleh dilakukan pada paras SB yang lebih rendah jika terdapat risiko yang tinggi yang dibincangkan di atas. Kadang-kadang penukaran darah tidak dilakukan walaupun nilai SB mencapai 400-500 umol/L pada bayi yang cukup bulan (term) yang sihat. Tetapi ini mestilah diputuskan oleh pakar pediatric yang menjaga pesakit tersebut.  
  3. Merawat penyakit yang menyebabkan jaundis contohnya bayi yang mengalami infeksi memerlukan antibiotik dan bayi yang hipotiroid memerlukan tiroksin
Bagaimanakah bayi dirawat semasa menjalani fototerapi? 
  1. Mata bayi mestilah ditutup untuk mencegah kerosakan pada retina
  2. Pakaian bayi mestilah ditanggalkan (lampin digunakan disetengah-setengah unit
  3. Suhu bayi mestilah di monitor dengan teliti
  4. Pengambilan susu mungkin perlu ditambah. Bayi-bayi yang menghisap susu badan mestilah digalakkan menyusu lebih.
  5. SB mestilah diperiksa setiap 12 hingga 24 jam. Lampu fototerapi mesti di padamkan apabila darah untuk SB di ambil. Kadang-kadang ia dilakukan lebih kerap seperti dalam keadaan Rh isoimunisasi.
  6. Jarak gelombang cahaya yang efektif untuk fototerapi adalah pada jarak 425 hingga 475 nm (spectrum cahaya biru) dan irradiasi pada lingkungan 4 hingga 12 ug/nm/cm2. Irradiasi lampu-lampu fototerapi mestilah diperiksa dengan fotometer selepas 100-200 jam selepas di pakai.
Komplikasi yang boleh berlaku akibat fototerapi adalah :

1. kulit menjadi gelap (tanning)
2. 'Bronze baby syndrome'
3. cirit-birit
4. dehidrasi
5. ruam-ruam pada kulit bayi

Walau bagaimanapun tiada kesan-kesan sampingan yang berkekalan dilaporkan. 


Bagaimanakah penukaran darah (exchange transfusion) dilakukan?

Jumlah isipadu darah yang diperlukan untuk menukar 90-95% darah bayi adalah dianggarkan lebih kurang 2 kali isipadu darah dalam bayi (ie. 2 X 80 ml/kg – 160 ml/kg). Darah yang digunakan mestilah darah yang baru; walaubagaimanapun darah CPS dari tabung yang berumur kurang daripada empat hari boleh digunakan. Pada bayi yang tidak sihat atau mempunyai berat lahir yang rendah, darah yang digunakan mestilah berumur kurang daripada 48 jam jika darah yang baru tidak kedapatan. 


Salah satu daripada 2 cara digunakan di dalam penukaran darah : 
  1. Pengambilan darah injeksi semula alikuot darah secara bergilir-gilir melalui vena umbilikus
  2. Pengeluaran yang berterusan darah bayi dari arteri umbilicus dan diseimbangkan dengan infusi darah baru yang berterusan melalui vena.
Apabila menggunakan teknik 1 di atas setiap giliran (cycle) (pengeluaran 5, 10 atau 20 ml dan injeksi semula 5, 10 dan 20 ml) mengambil 4-5 minit dan mengambil masa 2-3 minit untuk infusi semula. Isipadu darah yang lebih rendah digunakan pada bayi-bayi yang kecil atau sakit tenat. Penukaran darah yang sepenuhnya menggunakan mana-mana teknik di atas mengambil masa 1.5-2 jam. 


#KataHati#
> Aisyah dulu, mula dapat tahu kena jaundis pada hari ke-3. Terus bawa ke klinik kesihatan dan bacaan adalah 11.3mg/dl. Kemudian teruskan lagi pemeriksaan pada hari ke-5 dengan bacaan 10.1mg/dl dan ke-7 dengan bacaan 8.5mg/dl. Alhamdulillah jaundis Aisyah tidak teruk. Saya cuma amalkan bagi susu ibu (yang dipam - supaya dapat bagi banyak berbanding direct BF) setiap 2 jam.


Info daripada : Persatuan Pediatrik Malaysia, Clinical Practice Guideline KKM

Monday, March 11, 2013

Sawan Tangis @ Kolik

Salam,

Entry kali ini saya nak berkongsi info mengenai 'Kolik' atau lebih dikenali sebagai 'Sawan Tangis' oleh masyarakat melayu dulu. Kenapa?? Sebab Aisyah lately dah mula asyik menangis sahaja. Kalau setakat menangis lapar, boleh sumbat cikB jeee...hehehe tapi ni kategori menangis tak bersebab... Kalau menangis mesti sampai merah muka, buat gaya nak muntah, tersedak dan yang paling tak tahan dan buat ibu dia risau bila si kenit Aisyah keraskan / tegangkan badan dia sampai sesak nafas. Cuak bebb... dah la si ibu ni tak ade pengalaman....

Disebabkan aktiviti Aisyah inilah, ibu dia seperti biasa menggunakan sumber-sumber google untuk menjawab segala persoalan. 

----------------------

So...apa itu kolik? Kolik itu adalah satu keadaan di mana bayi yang sihat tiba - tiba menjadi cerewet, cepat marah dan seolah - olah menangis tanpa sebab. 


Fakta ringkas mengenai kolik

  1. Walaupun ada banyak teori mengenai kolik, tidak ada satu penjelasan yang dipersetujui mengenai apakah sebenarnya kolik ini
  2. Kolik berlaku kepada kira - kira 50% bayi
  3. Kajian menunjukkan bahawa anak sulung lelaki lebih muda terkena kolik berbanding dengan anak perempuan sulung tanpa sebab - sebab yang diketahui
  4. Lazimnya, pendapat popular menyatakan bahawa kolik disebabkan oleh pengumpulan buih - buih gas dalam perut bayi yang masih belum matang yang menyebabkan ketidakselesaan dan kekejangan kepada bayi
  5. Semua itu mungkin ditambah dengan keletihan atau rasa tidak selesa terhadap kebisingan / aktiviti yang keterlaluan di persekitarannya
  6. Kolik selalu bermula pada minggu ke-2 atau ke-3 sejak kelahiran
  7. Apabila kolik berlaku, bayi akan menangis kira - kira 2-4 jam sehingga dia menjadi penat dan tertidur dengan sendirinya
  8. Ubat - ubatan tidak akan dapat membantu bayi berhenti menangis
  9. Kolik selalu beransur pulih apabila bayi berumur tiga bulan
Tanda - tanda Kolik 
  1. Bayi mungkin akan menangis sehingga mukanya menjadi merah dan dia kelihatan seperti sedang menarik nafasnya
  2. Lututnya mungkin ternaik ke atas perutnya dan dia akan menjadi terlalu tegang dan menangis sambil bahunya melengkung
  3. Bayi mungkin tampak lapar dan seperti ingin disusukan, tetapi apabila disuakan cikB, bayi mungkin akan hanya minum sedikit sebelum menarik diri lalu menangis
  4. Bayi mungkin menjeluak dengan lebih kerap dan banyak
  5. Anda mungkin akan lihat bahawa bayi tidak bersendawa dengan betul atau kelihatan menogok susunya
  6. Semasa tidur, bayi kelihatan resah, kerap kali menggeliat dan berdehem dengan nyaringnya
  7. Bayi mungkin tiba-tiba terpekik dalam tidurnya lalu menangis
  8. Jika anda menyentuh perutnya dengan jari anda, anda akan dapati yang perutnya terasa kembung dan tegang
Cara - cara untuk menenangkan bayi yang terkena kolik

Bayi yang terkena kolik didapati akan memberi reaksi kepada pergerakan berirama dan bunyi - bunyi yang beraneka. Cubalah perkara - perkara berikut:
  1. Pergerakan berirama seperti berhayun
  2. Memegang bayi dalam posisi menegak, bertentang mata dengan anda sambil perutnya menekan dada anda atau bersandar kepada bahu anda
  
  1. Menggendung bayi dalam dakapan anda dengan mukanya memandang ke arah bawah
    
  1. Menghayun dengan perlahan bayi mengikut rentak dan bunyi - bunyian seperti dari mesin basuh, kipas angin, pembersih vakum atau pengering rambut
  2. Dukung bayi dengan menggunakan kain gedung sambil berjalan - jalan
  3. Nenberi bayi mandian hangat
  4. Bersiar - siar dengan menaiki kereta
Lazimnya, tidak ada satu cara yang dapat menghentikan tangisan bayi. Anda juga akan dapati yang cara yang berkesan hari ini mungkin tidak akan berkesan pada hari kemudiannya.

Ubat - ubatan

Doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat titik anti-kolik untuk mengurangkan tangisan bayi. Ubat ini mungkin, atau tidak semestinya membantu mengurangkan rasa sakit atau ketidakselesaan akibat kolik. Walaupun ubat ini kadangkala kurang berkesan, namun ada ibubapa yang tetap memberikannya kepada bayi dengan tujuan membantu melegakan rasa tidak selesa bayi. Ubat titik anti-kolik ini selamat digunakan jika mengikut preskripsi doktor.

Gripe Water juga lazimnya digunakan untuk melegakan kolik


Nota Panduan :

# Jika anda menyusu badan, cuba kurangkan pengambilan seperti berikut
  • Makanan yang berasaskan tenusu seperti susu, krim, tairu, keju dan telur
  • Buah - buahan sitrus, makanan yang bergula dan yang pedas
  • Air berkarbonat
  • Kopi, teh dan menghisap rokok
# Untuk bayi yang diberikan susu formula, cubalah perkara - perkara berikut:

  • Perhatikan jenama susu. Jenama susu rumusan mungkin tidak sesuai untuk bayi anda
  • Periksa cara anda menyusukan bayi anda - lihat garis panduan penyusuan botol
  • Lubang puting susu mungkin terlalu besar, menyebabkan bayi menogok susu dengan terlalu pantas
  • Ingatlah hanya air paip yang sudah ditapis dan dimasak dan disejukkan boleh digunakan untuk membancuh susu rumusan bayi
# Ingatlah, apabila bayi menangis ia tidak bermakna dia di dalam kesakitan. Bayi menangis kerana beberapa sebab dan pada peringkat usia yang tersangat muda itu. Ia juga merupakan satu cara mereka berkomunikasi dengan anda. Jadi sebelum anda menjadi cemas dan mengesyaki bayi anda terkena kolik, tenang dahulu dan periksa jika ada sebab lain membuat bayi menangis.

#KataHati#
> Orang melayu kalau berpantang, selalunya minum air kopi atau milo termasuklah ibu Aisyah ni. Nampaknya lepas ni, kene kurangkanlah minum kopi dan milo pulak kene tukar ke milo O. Haiiii...nasib orang berpantang, air sirap pun nampak sedap..:)

Rahsia RM435,200 Dalam 7 Bulan!

Ketahui Rahsia Bagaimana Mohd Nizam Menjana RM435,200 Dalam Masa 7 Bulan DiInternet, Tanpa Produk & Pengalaman! EKSKLUSIF! www.jutawanautomatik.com