Pages

Tuesday, March 12, 2013

Jaundis @ Demam Kuning

Jaundis atau dikenali di kalangan masyarakat melayu sebagai demam kuning adalah satu keadaan di mana paras bilirubin di dalam darah melebihi daripada jumlah normal. Ianya normal berlaku kepada bayi yang baru lahir yang merujuk kepada warna kuning pada kulit dan putih mata. 

Apa itu bilirubin? Bilirubin adalah bahan kimia kekuningan dalam hemoglobin yang membawa oksigen dalam sel darah merah. Semasa penguraian sel darah merah, badan akan membina sel-sel yang baru dan sel-sel darah merah yang lama akan melalui hati. Sekiranya proses sel darah merah yang dihasilkan lebih cepat daripada hati menguraikan bilirubin, bilirubin akan terkumpul di dalam badan dan kulit akan kelihatan kuning.


Kenapa jaundis berlaku kepada bayi? Ini kerana:

  1. Bayi yang baru lahir menghasilkan sel darah merah yang lebih banyak daripada orang dewasa (bermaksud lebih bilirubin yang terhasil)
  2. Hati bayi yang baru lahir belum cukup matang untuk memproses/menguraikan bilirubin dalam sel darah merah
  3. Terlalu banyak bilirubin yang diserap balik daripada usus ke dalam badan sebelum bayi dapat membuangnya sebagai najis.
  4. Punca utama jaundis pada bayi boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan yang besar iaitu jaundis fisiologikal dan jaundis patologikal.
Jaundis fisiologikal merupakan jaundis ringan yang berlaku disebabkan ketidakmatangan hati bayi untuk memproses bilirubin. Ia biasanya muncul pada 2 hingga 4 hari umur dan hilang oleh umur 1 hingga 2 minggu.

Jaundis patologikal pula merujuk kepada jaundis yang berlaku disebabkan oleh keadaan tertentu seperti ketidakserasian kumpulan darah (Rhesus atau masalah ABO) dan kekurangan G6PD.

Ada juga jaundis yang dikenali sebagai Jaundis Susu Badan

  1. Jaundis bayi yang menyusu susu badan (breastfeeding jaundice) : pada segolongan kecil bayi-bayi yang menerima susu badan terdapat elemen dehidrasi dan tidak cukup makan (underfeeding) terutamanya jika berat badan menurun melebihi 10% berat lahir. Ibu-ibu digalakkan memberi susu badan lebih kerap (setiap 1-2jam) dan memberi bayi glukos 5% (dengan sudu) jika SB terlalu tinggi. Fototerapi dimulakan bila diperlukan tertakluk kepada nilai SB.
  2. Jaundis susu badan (breastmilk jaundice): jaundis yang berpanjangan ini dikaitkan dengan jumlah non-esterified fatty acid (NEFA) pada susu badan sesetengah ibu. NEFA dipercayai mencegah konjugasi bilirubin, berlumba dengan bilirubin untuk ikatan dengan protein-protein Y dan Z dan meningkatan sirkulasi enterohepatik. Jika SB tidak mencapai paras bahaya, tiada rawatan diperlukan. Jika paras SB terlalu tinggi pemberhentian susu badan dan gantian dengan susu formula boleh mencepatkan penurunan paras serum bilirubin. Ibu-ibu mestilah diberitahu bahawa jaundis susu badan adalah tidak bahaya.
Dengan menjalankan ujian darah (contoh darah lazimnya diambil dari lengan atau tumit bayi), doktor akan dapat menentukan paras bilirubin dan tahap jaundis dalam bayi anda.

Bayi yang mengalami jaundis harus selalu disusukan (2-3 jam sekali) supaya kadar penyahidratan dalam tubuhnya terkawal dan dia akan selalu kencing dan buang air besar. Ini akan membantu mengeluarkan toksik dari badannya dan membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Bagaimana hendak tahu yang bayi terkena jaundis?


Jaundis selalunya berlaku pada hari ke-2 atau ke-3 dan akan memuncak pada hari ke-4 hinggalah hari ke-7. Anda boleh memeriksa sendiri seteruk mana keadaan jaundis bayi anda. Bukalah baju lalu periksa muka dan bahagian tubuhnya di bawah cahaya matahari. Anda mungkin mendapati yang muka bayi nampak kemerah-merahan atau kekuningan. Seterusnya, tekan dengan perlahan bahagian pipi bayi dengan jari telunjuk anda dan lepaskan jari anda. Perhatikan warna kulit bayi apabila jari anda ditarik. Jika ia berwarna kuning pekat, ulangi proses itu di dadanya pula. Jika di dadanya juga menunjukkan warna kuning, anda harus bawa bayi pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,

Jaundis juga membuat bayi sering merasa mengantuk. Jika anda perhatikan bahawa bayi anda sentiasa kelihatan leti dan kurang cergas menyusu, anda harus mendapatkan nasihat doktor.

Apa yang harus dijangkakan?
  1. Simptom jaundis selalunya akan berkurangan sekitar hari ke-7 dan akan hilang sepenuhnya pada hari ke-10 hingga ke-14
  2. Jururawat akan mengambil sampel darah bayi (jika di klinik kesihatan, darah di ambil di kaki, manakala jika di hospital, darah akan diambil di tangan) dan dihantar ke makmal untuk melihat nilai bacaan SB (serum bilirubin), dan diberi rawatan sekiranya perlu.
  3. Pada amnya, kekuningan pada bayi bermula pada muka dan akan menurun ke bawah hingga ke kaki bayi. Anggaran kasar paras bilirubin pada bayi:


** Masa Aisyah kena jaundis, setiap hari kena pergi klinik kesihatan untuk periksa paras SB, hanya bayi yang bawah daripada 9.5mg/dl yang dikira selamat daripada jaundis dan tidak perlu pemeriksaan lanjut.


Rawatan

Pada amnya, jaundis fisiologikal tidak memerlukan rawatan. Rawatan untuk hyperbilirubinaemia tak langsung (indirect) yang lebih serius adalah :
  1. Fototerapi biasanya dilakukan bila jaundis berlaku dalam masa 24 jam selepas lahir (walau apapun paras bilirubin) atau apabila serum bilirubin melebihi 200 umol/L. Fototerapi mengakibatkan bilirubin indirect berubah struktur dari yang tidak larut kepada yang larut dan diekskresi di dalam urin dan hempedu. 
  2. Penukaran darah (Exchange transfusion) – ini dilakukan apabila paras SB mencecah 340 umol/L atau lebih. Ini boleh dilakukan pada paras SB yang lebih rendah jika terdapat risiko yang tinggi yang dibincangkan di atas. Kadang-kadang penukaran darah tidak dilakukan walaupun nilai SB mencapai 400-500 umol/L pada bayi yang cukup bulan (term) yang sihat. Tetapi ini mestilah diputuskan oleh pakar pediatric yang menjaga pesakit tersebut.  
  3. Merawat penyakit yang menyebabkan jaundis contohnya bayi yang mengalami infeksi memerlukan antibiotik dan bayi yang hipotiroid memerlukan tiroksin
Bagaimanakah bayi dirawat semasa menjalani fototerapi? 
  1. Mata bayi mestilah ditutup untuk mencegah kerosakan pada retina
  2. Pakaian bayi mestilah ditanggalkan (lampin digunakan disetengah-setengah unit
  3. Suhu bayi mestilah di monitor dengan teliti
  4. Pengambilan susu mungkin perlu ditambah. Bayi-bayi yang menghisap susu badan mestilah digalakkan menyusu lebih.
  5. SB mestilah diperiksa setiap 12 hingga 24 jam. Lampu fototerapi mesti di padamkan apabila darah untuk SB di ambil. Kadang-kadang ia dilakukan lebih kerap seperti dalam keadaan Rh isoimunisasi.
  6. Jarak gelombang cahaya yang efektif untuk fototerapi adalah pada jarak 425 hingga 475 nm (spectrum cahaya biru) dan irradiasi pada lingkungan 4 hingga 12 ug/nm/cm2. Irradiasi lampu-lampu fototerapi mestilah diperiksa dengan fotometer selepas 100-200 jam selepas di pakai.
Komplikasi yang boleh berlaku akibat fototerapi adalah :

1. kulit menjadi gelap (tanning)
2. 'Bronze baby syndrome'
3. cirit-birit
4. dehidrasi
5. ruam-ruam pada kulit bayi

Walau bagaimanapun tiada kesan-kesan sampingan yang berkekalan dilaporkan. 


Bagaimanakah penukaran darah (exchange transfusion) dilakukan?

Jumlah isipadu darah yang diperlukan untuk menukar 90-95% darah bayi adalah dianggarkan lebih kurang 2 kali isipadu darah dalam bayi (ie. 2 X 80 ml/kg – 160 ml/kg). Darah yang digunakan mestilah darah yang baru; walaubagaimanapun darah CPS dari tabung yang berumur kurang daripada empat hari boleh digunakan. Pada bayi yang tidak sihat atau mempunyai berat lahir yang rendah, darah yang digunakan mestilah berumur kurang daripada 48 jam jika darah yang baru tidak kedapatan. 


Salah satu daripada 2 cara digunakan di dalam penukaran darah : 
  1. Pengambilan darah injeksi semula alikuot darah secara bergilir-gilir melalui vena umbilikus
  2. Pengeluaran yang berterusan darah bayi dari arteri umbilicus dan diseimbangkan dengan infusi darah baru yang berterusan melalui vena.
Apabila menggunakan teknik 1 di atas setiap giliran (cycle) (pengeluaran 5, 10 atau 20 ml dan injeksi semula 5, 10 dan 20 ml) mengambil 4-5 minit dan mengambil masa 2-3 minit untuk infusi semula. Isipadu darah yang lebih rendah digunakan pada bayi-bayi yang kecil atau sakit tenat. Penukaran darah yang sepenuhnya menggunakan mana-mana teknik di atas mengambil masa 1.5-2 jam. 


#KataHati#
> Aisyah dulu, mula dapat tahu kena jaundis pada hari ke-3. Terus bawa ke klinik kesihatan dan bacaan adalah 11.3mg/dl. Kemudian teruskan lagi pemeriksaan pada hari ke-5 dengan bacaan 10.1mg/dl dan ke-7 dengan bacaan 8.5mg/dl. Alhamdulillah jaundis Aisyah tidak teruk. Saya cuma amalkan bagi susu ibu (yang dipam - supaya dapat bagi banyak berbanding direct BF) setiap 2 jam.


Info daripada : Persatuan Pediatrik Malaysia, Clinical Practice Guideline KKM

Monday, March 11, 2013

Sawan Tangis @ Kolik

Salam,

Entry kali ini saya nak berkongsi info mengenai 'Kolik' atau lebih dikenali sebagai 'Sawan Tangis' oleh masyarakat melayu dulu. Kenapa?? Sebab Aisyah lately dah mula asyik menangis sahaja. Kalau setakat menangis lapar, boleh sumbat cikB jeee...hehehe tapi ni kategori menangis tak bersebab... Kalau menangis mesti sampai merah muka, buat gaya nak muntah, tersedak dan yang paling tak tahan dan buat ibu dia risau bila si kenit Aisyah keraskan / tegangkan badan dia sampai sesak nafas. Cuak bebb... dah la si ibu ni tak ade pengalaman....

Disebabkan aktiviti Aisyah inilah, ibu dia seperti biasa menggunakan sumber-sumber google untuk menjawab segala persoalan. 

----------------------

So...apa itu kolik? Kolik itu adalah satu keadaan di mana bayi yang sihat tiba - tiba menjadi cerewet, cepat marah dan seolah - olah menangis tanpa sebab. 


Fakta ringkas mengenai kolik

  1. Walaupun ada banyak teori mengenai kolik, tidak ada satu penjelasan yang dipersetujui mengenai apakah sebenarnya kolik ini
  2. Kolik berlaku kepada kira - kira 50% bayi
  3. Kajian menunjukkan bahawa anak sulung lelaki lebih muda terkena kolik berbanding dengan anak perempuan sulung tanpa sebab - sebab yang diketahui
  4. Lazimnya, pendapat popular menyatakan bahawa kolik disebabkan oleh pengumpulan buih - buih gas dalam perut bayi yang masih belum matang yang menyebabkan ketidakselesaan dan kekejangan kepada bayi
  5. Semua itu mungkin ditambah dengan keletihan atau rasa tidak selesa terhadap kebisingan / aktiviti yang keterlaluan di persekitarannya
  6. Kolik selalu bermula pada minggu ke-2 atau ke-3 sejak kelahiran
  7. Apabila kolik berlaku, bayi akan menangis kira - kira 2-4 jam sehingga dia menjadi penat dan tertidur dengan sendirinya
  8. Ubat - ubatan tidak akan dapat membantu bayi berhenti menangis
  9. Kolik selalu beransur pulih apabila bayi berumur tiga bulan
Tanda - tanda Kolik 
  1. Bayi mungkin akan menangis sehingga mukanya menjadi merah dan dia kelihatan seperti sedang menarik nafasnya
  2. Lututnya mungkin ternaik ke atas perutnya dan dia akan menjadi terlalu tegang dan menangis sambil bahunya melengkung
  3. Bayi mungkin tampak lapar dan seperti ingin disusukan, tetapi apabila disuakan cikB, bayi mungkin akan hanya minum sedikit sebelum menarik diri lalu menangis
  4. Bayi mungkin menjeluak dengan lebih kerap dan banyak
  5. Anda mungkin akan lihat bahawa bayi tidak bersendawa dengan betul atau kelihatan menogok susunya
  6. Semasa tidur, bayi kelihatan resah, kerap kali menggeliat dan berdehem dengan nyaringnya
  7. Bayi mungkin tiba-tiba terpekik dalam tidurnya lalu menangis
  8. Jika anda menyentuh perutnya dengan jari anda, anda akan dapati yang perutnya terasa kembung dan tegang
Cara - cara untuk menenangkan bayi yang terkena kolik

Bayi yang terkena kolik didapati akan memberi reaksi kepada pergerakan berirama dan bunyi - bunyi yang beraneka. Cubalah perkara - perkara berikut:
  1. Pergerakan berirama seperti berhayun
  2. Memegang bayi dalam posisi menegak, bertentang mata dengan anda sambil perutnya menekan dada anda atau bersandar kepada bahu anda
  
  1. Menggendung bayi dalam dakapan anda dengan mukanya memandang ke arah bawah
    
  1. Menghayun dengan perlahan bayi mengikut rentak dan bunyi - bunyian seperti dari mesin basuh, kipas angin, pembersih vakum atau pengering rambut
  2. Dukung bayi dengan menggunakan kain gedung sambil berjalan - jalan
  3. Nenberi bayi mandian hangat
  4. Bersiar - siar dengan menaiki kereta
Lazimnya, tidak ada satu cara yang dapat menghentikan tangisan bayi. Anda juga akan dapati yang cara yang berkesan hari ini mungkin tidak akan berkesan pada hari kemudiannya.

Ubat - ubatan

Doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat titik anti-kolik untuk mengurangkan tangisan bayi. Ubat ini mungkin, atau tidak semestinya membantu mengurangkan rasa sakit atau ketidakselesaan akibat kolik. Walaupun ubat ini kadangkala kurang berkesan, namun ada ibubapa yang tetap memberikannya kepada bayi dengan tujuan membantu melegakan rasa tidak selesa bayi. Ubat titik anti-kolik ini selamat digunakan jika mengikut preskripsi doktor.

Gripe Water juga lazimnya digunakan untuk melegakan kolik


Nota Panduan :

# Jika anda menyusu badan, cuba kurangkan pengambilan seperti berikut
  • Makanan yang berasaskan tenusu seperti susu, krim, tairu, keju dan telur
  • Buah - buahan sitrus, makanan yang bergula dan yang pedas
  • Air berkarbonat
  • Kopi, teh dan menghisap rokok
# Untuk bayi yang diberikan susu formula, cubalah perkara - perkara berikut:

  • Perhatikan jenama susu. Jenama susu rumusan mungkin tidak sesuai untuk bayi anda
  • Periksa cara anda menyusukan bayi anda - lihat garis panduan penyusuan botol
  • Lubang puting susu mungkin terlalu besar, menyebabkan bayi menogok susu dengan terlalu pantas
  • Ingatlah hanya air paip yang sudah ditapis dan dimasak dan disejukkan boleh digunakan untuk membancuh susu rumusan bayi
# Ingatlah, apabila bayi menangis ia tidak bermakna dia di dalam kesakitan. Bayi menangis kerana beberapa sebab dan pada peringkat usia yang tersangat muda itu. Ia juga merupakan satu cara mereka berkomunikasi dengan anda. Jadi sebelum anda menjadi cemas dan mengesyaki bayi anda terkena kolik, tenang dahulu dan periksa jika ada sebab lain membuat bayi menangis.

#KataHati#
> Orang melayu kalau berpantang, selalunya minum air kopi atau milo termasuklah ibu Aisyah ni. Nampaknya lepas ni, kene kurangkanlah minum kopi dan milo pulak kene tukar ke milo O. Haiiii...nasib orang berpantang, air sirap pun nampak sedap..:)

Saturday, March 9, 2013

7 Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi

Salam,

Entry kali ini saya nak berkongsi info mengenai amalan sunnah menyambut kelahiran bayi. Saya dapat info ini semasa menghadiri "Antenatal Class" anjuran Hospital Pakar Annur, Bangi. Semoga info ini dapat menambah ilmu kita, insyaAllah...:)

Menurut Ustazah yang memberi ceramah itu, terdapat 7 sunnah Rasulullah S.A.W dalam menyambut kelahiran bayi. 7 sunnah itu adalah :

1. Mengazankan bayi

Nabi s.a.w mengambil berat tentang bayi yang baru lahir dari rahim ibunya dengan mengalunkan azan ke telinganya supaya sejak lahir lagi bayi tersebut didendangkan dengan Zikrullah & ia menjadi pelindungnya daripada syaitan yang direjam. Nabi s.a.w apabila mendapat tahu tentang kelahiran Hassan, baginda bergegas mendapatkannya lalu mengalunkan azan ke telinga kanannya & iqamah ke telinga kirinya. Baginda bersabda bahawa bayi yang diazankan takkan diganggu oleh ‘ummu sibyan’ (sejenis syaitan yang dikhaskan untuk menganggu bayi yang baru lahir).

2. Bertahnik

Diriwayatkan oleh Aishah bahawa bayi yang baru lahir biasanya akan dibawa kepada Nabi s.a.w. Bayi bapa tersebut akan membawanya kepada Nabi s.a.w sebelum disusukan oleh ibunya supaya nabi boleh mentahnikannya dan memberkatinya.

3. Tasmiah

Tasmiah bermaksud menamakan bayi. Sunat dilakukan pada hari ke-7 selepas kelahirannya. Nabi s.a.w bersabda bahawa “namakan mereka (bayi) dengan nama para nabi & sebaik-baik nama ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Semolek-moleknya ialah Haris dan Hamam. Manakala seburuk-buruknya ialah Harb dan Murrah.”

4. Tahliq

Sunnah keempat adalah tahliq iaitu sunnah mencukur kepala bayi. Disunatkan pada hari ke-7 kelahiran bayi untuk dicukur kepalanya sehingga habis. Faedahnya sangat banyak dan Nabi s.a.w melakukannya kepada Hassan & Hussin. Begitu juga dengan para sahabat RA.

5. Menderma berdasarkan berat rambut bayi

Sunnah kelima pula adalah menderma berdasarkan berat rambut bayi iaitu dengan menimbang rambut yang dicukur itu, kemudian mendermakan perak dengan timbangan tersebut. Ulamak menyatakan jika hendak didermakan dalam bentuk emas maka ia lebih baik untuk muslimin dan fakir miskin.

6. Aqiqah

Aqiqah adalah amalan menyembelih 2 ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Disunatkan untuk meyediakan sembelihan tersebut dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya. Dalam erti kata lain, disunatkan untuk berasa gembira atas kelahiran tersebut dan menjemput orang ramai. Disunatkan juga bagi yang dijemput untuk memenuhi jemputan aqiqah kerana Nabi s.a.w menggalakkan kita memenuhi undangan aqiqah.

7. Khatan

Sunnah ketujuh adalah dengan berkhatan. Ia wajib kepada anak lelaki dan digalakkan bagi anak perempuan. Keinginan untuk menyampaikan berita gembira & mengucapkan tahniah. Jika kita mendapat khabar tentang kelahiran bayi baru, disunatkan untuk kita mengatakan “Moga Allah s.w.t berkatimu dengan pemberianNya, semoga kau bersyukur kepadaNya, semoga Allah s.w.t kurniakanmu keberkatan & pertunjukNya”. Ini ialah sunnah yang diriwayatkan oleh Imam Hassan ia adalah amalan Nabi s.a.w.

Jika kita pehatikan ketujuh-tujuh sunnah dan amalkannya kepada anak-anak, mereka akan hidup bersama sunnah Rasulullah s.a.w. Alangkah indahnya jika anak-anak ini sejak dari awal kelahiran, mereka dah didedahkan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Hal demikian akan menggalakkan anak-anak ini untuk terus membesar sambil mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. Selain membentuk generasi yang mencontohi Rasulullah s.a.w kerana mereka sangat suci ketika dilahirkan lalu dihubungkan pula dengan amalan, akhlak & pertunjuk dari Nabi s.a.w. Allah s.w.t telah berfirman “Jika kamu benar-benar cintai Allah s.w.t, ikutilah aku. Nescaya Allah s.w.t akan mengasihimu. (Surah Ali-Imran; Ayat 31) 

#KataHati#
> Di Hospital Pakar Annur, bayi perempuan yang lahir boleh dikhatankan terus dan ada bidan yang  boleh bersihkan uri siap-siap dan balik tanam sahaja. Untuk bersihkan uri, bayaran ikhlas mengikut kemampuan ibu yang bersalin.

Apa itu KOLOSTRUM???

Salam,

Alhamdulillah Aisyah kini sudah berusia 1 bulan. Masa sangat pantas berlalu. Masih terbayang lagi saat melahirkan Aisyah.

Alhamdulillah juga sebab saya berjaya fully breastfeed Aisyah. Walaupun pada awalnya susu tiada, namun selepas balik ke kampung Mr.hubby dan berurut dengan bidan, akhirnya.....keluar gak susu.

Bercakap mengenai susu ibu, ianya boleh dibahagikan kepada 3 jenis (Kolostrum, foremilk dan hindmilk) dan setiap satunya mempunyai peranan dan khasiat yang penting untuk bayi.

Untuk entry kali ini, jom kita tambah ilmu dengan membaca info mengenai Kolostrum yang saya ambil dari www.sciencedaily.com.

------------------

Kolostrum

Kolostrum (juga dikenali sebagai beestings atau susu pertama) adalah satu bentuk susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamari pada penghujung kehamilan dan beberapa hari selepas melahirkan anak.Kolostrum manusia adalah tebal, melekit dan kekuningan.

Kiri - Kolostrum, Kanan - Susu Ibu
Source : Wikipedia.org

Pada manusia, ia mempunyai kepekatan yang tinggi nutrien dan antibodi, tetapi ia adalah dalam kuantiti kecil. Kolostrum adalah tinggi karbohidrat, tinggi protein, tinggi dalam antibodi, dan rendah lemak (bayi yang baru lahir mungkin mendapati lemak sukar untuk dihadam).

Bayi yang baru lahir mempunyai sistem pencernaan yang sangat kecil, dan kolostrum menyampaikan nutrien dalam bentuk yang sangat pekat pada kuantiti yang rendah.

Ia mempunyai kesan laksatif ringan, menggalakkan pembuangan najis pertama bayi, yang dipanggil meconium.

Ia juga membantu membuang lebihan bilirubin, produk sisa mati sel-sel darah merah yang dihasilkan dalam kuantiti yang besar pada masa kelahiran disebabkan pengurangan isipadu darah, dari badan bayi dan membantu mencegah jaundis. Kolostrum mengandungi sejumlah besar antibodi yang dipanggil "secretory imunoglobulin" (IgA) yang membantu melindungi membran mukus di tekak, paru-paru, dan usus bayi.

Leukosit yang turut hadir dalam kuantiti yang besar membantu melindungi bayi daripada virus bakteria dan berbahaya.

Meminum Kolostrum menetapkan bakteria bermanfaat dalam saluran penghadaman. Bayi pra-matang cenderung untuk membesar dengan lebih baik jika meminum kolostrum manusia daripada formula bayi komersial.

Susu manusia mengandungi komponen khas, dipanggil modular pertumbuhan, yang membantu sistem penghadaman bayi pramatang menyesuaikan diri dengan penyusuan melalui mulut.

Penyelidikan menunjukkan bahawa bayi pramatang yang makan susu formula cenderung muntah secara berlebihan daripada bayi yang minum kolostrum dan susu ibu.

Bersambung di entry akan datang untuk info mengenai "foremilk & hindmilk"


#KataHati#
> Berusaha pump susu pada awal kelahiran Aisyah untuk dapatkan kolostrum sampai bengkak puting. Alhamdulillah dapat juga dalam satu sudu dan Aisyah kena Jaundis cuma 3 hari sahaja (bacaan paling tinggi 11.5 mg/dL)

Friday, March 8, 2013

NUR AISYAH HUMAIRA

Salam,

Alhamdulillah, tepat jam 10.30 malam, 6hb Februari 2013 yang lalu, saya selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Pakar Annur, Bangi. Syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak terhingga ini.


1 hour after birth - fresh from oven


Memilih nama anak memang bukan perkara yang mudah. Sepanjang kehamilan, macam - macam nama telah kami fikirkan hehehehe tapi akhirnya, bayi perempuan ini telah kami namakan dengan nama NUR AISYAH HUMAIRA.


NUR AISYAH HUMAIRA

Macam mana kami dapat nama ini? Ianya bermula bila Mr.Hubby tanya bulan islam apa baby jangka lahir dan saya jawab insyaAllah bulan RabiulAwal. Seperti yang diketahui umum, bulan RabiulAwal adalah bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan banyak peristiwa - peristiwa yang telah berlaku sepanjang bulan ini. 

Diantara peristiwa yang berlaku adalah :

  1. Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W
  2. Perlantikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul
  3. Hijrah
  4. Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W; dan,
  5. Beberapa peperangan
Di sinilah timbulnya nama Aisyah apabila kami baca kisah kewafatan Nabi Muhammad di rumah isteri baginda, Aisyah R.A.

Humaira pula adalah gelaran yang diberi oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada Aisyah yang bermaksud "Putih Kemerah - Merahan". Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa Humaira bermaksud 'Bahagia'

Semoga anak yang lahir ini mempunyai keperibadian, akal fikiran dan hati sehebat Saidatina Aisyah R.A. Amin....


#KataHati#
> Sedikit info mengenai Saidatina Aisyah R.A di sini


20 Perkara Yang Berubah Selepas Anda Mempunyai Anak!

Sering kali rakan-rakan kita memberi peringatan kepada kita ketika kita sedang mengandungkan anak pertama. “Kau tidurlah puas-puas, nanti dah ada anak mesti tak cukup tidur”...Betul kan?


Dan yang pasti, selepas mempunyai anak, banyak yang akan berubah dalam hidup kita. Kita akan mempunyai kekangan wang, tidak cukup tidur dan tanggungjawab yang lebih besar perlu digalas. Tetapi apabila seluruh kehidupan kita bertumpu kepada anak kesayangan kita, sebenarnya, banyak perkara yang menarik akan berlaku. 
  1. Kita menemui kekuatan dalaman tanpa kita sedar.
  2. Kita akan merindui saat 9 bulan kehamilan kita walaupun terpaksa mengendong perut yang boyot!! 
  3. Kita tidak lagi memerlukan jam. Sebaliknya, bayi kita yang menetapkan jadual harian kita. Adakalanya bayi kita bangun seawal jam 4 pagi!!
  4. Kita akan menghormati dan mengasihi ibu bapa kita sendiri dengan cara yang baru.
  5. Jika anak kita sakit, kita yang akan mengalami rasa lebih teruk berbanding kita yang sakit..
  6. Kita tidak keberatan tidur pada pukul 9 malam pada malam Jumaat...;-)
  7. Perasaan kita akan lebih mudah tersentuh atau berkecil hati apabila berlaku hal-hal berkaitan dengan anak.
  8. Kita akan lebih kerap melihat anak kita di dalam cermin berbanding melihat diri kita sendiri.
  9. Kita tidak lagi jijik dengan najis bayi, sebaliknya kita akan Happy bila anak kita poo-poo! 
  10. Kita akan lebih menghargai diri kita.
  11. Kita lebih rela meluangkan masa untuk peluk dan cium anak kita, walaupun kita tahu kita akan sampai lewat ke tempat kerja.
  12. Kita mula menyedari, yang kita punyai kuasa yang hebat bila dapat menenangkan anak kita yang sedang menangis.
  13. Kita akan sentiasa mengira gigi anak yang baru tumbuh.
  14. Kita akan rasakan yang mempunyai anak lagi bukanlah satu masalah yang besar, malah kita amat sukannya.
  15. Apabila kita melihat ada ibu bapa lain yang sedang memegang anak mereka yang sedang menangis, kita akan faham situasi mereka.
  16. Kita akan menghargai masa mandi kita walaupun ianya dalam masa yang singkat!
  17. Akhirnya, kita akan mula bertegur sapa dengan jiran sebelah selepas mempunyai anak!
  18. Kita akan dapati, perkara-perkara yang dulunya kita anggap penting kini tidak lagi selepas adanya anak.
  19. Kita sedar yang sebenarnya tidak sukar untuk menyayangi anak kita yang pada mulanya kita anggap dia adalah orang asing.
  20. Setiap hari kita adalah sesuatu yang penuh dengan kejutan!

Jemput SHARE ya! (>_^)

#KataHati#
> Hidup rasa lengkap lepas kelahiran Aisyah, walaupun awal-awal agak kelam kabut, tapi akhirnya berjaya gak nak catch-up new life...hehehe sorry Mr.hubby, kerana anda agak diabaikan dengan bukan disengajakan...:))

Rhesus Darah dan Kehamilan

Salam,

Saya dapat tahu mengenai jenis darah dan kesan terhadap kehamilan selepas saya buat check-up kali pertama dengan Dr.Khamsiah, di Klinik O&G Annur, Bangi. Atas dasar ingin tahu, balik dari check-up, saya terus meng'google'. Saya rasa info ini amat penting sebagai persediaan kepada bakal - bakal ibu di luar sana terutama kepada bakal ibu yang mempunyai rhesus Negatif. Enjoy reading!!!~

------------------------

Setiap wanita hamil dikehendaki memeriksa kumpulan darah, bukan sahaja bertujuan untuk mengetahui jenis kumpulan darah sama ada A, B, AB atau O, tetapi juga bagi mengenal pasti jenis rhesus. Pasti ramai dikalangan kita yg tertanya2 apa itu rhesus?, dan kenapa ianya begitu penting untuk dikenal pasti (terutama bagi wanita hamil? 

Apa Itu Rhesus? 
Rhesus merupakan satu lagi jenis komponen pengenalan pada sel darah. Rhesus terbahagi kepada 2 iaitu rhesus positif atau rhesus negetif.

Apakah Kepentingan Mengetahui Jenis Rhesus Wanita Hamil?
Permasalahan Rhesus dalam mengandung boleh berlaku bila seorang wanita yang negatif mempunyai pasangan Rhesus positif.


Hal ini, boleh memberi kesan kepada janin yang dikandung, jika bayi atau janin tersebut mempunyai rhesus jenis positif. Keadaan ini boleh berlaku dalam kadar risiko 50% atau 100%. Jika anak dalam kandungan yang pertama positif, sel-sel darah dari anak dapat bercampur dengan darah ibu terutama sekali semasa bersalin. Sel-sel ini, walaupun sedikit akan menimbulkan rangsangan dalam badan ibu dan membentuk antibodi (antibodi anti-D) yang memusnahkan sel-sel darah Rhesus positif bayi.

Jika janin mempunyai rhesus positif, masalah boleh timbul jika sel darah janin bercampur dengan sel darah ibu. Jika tidak dirawat, sel darah ibu akan membentuk antibodi yg akan memusnahkan sel2 darah rhesus positif janin. Antibodi yg terbentuk ini boleh memberi masalah kepada janin dan boleh mengakibatkan kematian janin.




Pembentukan antibodi ini, boleh terjadi dalam keadaan berikut :

  • Kelahiran - lebih cenderung dalam pembedahan caesarean, kelahiran kembar dan kelahiran stillbirth
  • Prosedur D & C
  • Prosedur mengeluarkan uri yg lambat lekang selepas bersalin (manual removal of the placenta)
  • Prosedur tertentu sewaktu kehamilan. Contohnya, amniotentesis dan chorionicvillous sampling)
  • Trauma dalam trimester ketiga seperti kemalangan, hentakan dan sebagainya.

Antibodi (antibodi anti-D) yang dibentuk dalam ibu akan berkekalan, seperti juga kalau seorang itu telah dijangkiti demam campak - badannya telah membentuk antibodi yang melawan virus campak itu dan kemudiannya, dia tidak akan dijangkiti lagi kerana antibodi yang ada ini akan mengenal virus campak pada kali yang kedua dan terus memusnahkannya.

Jadi, jika ibu itu mengandung kali kedua, dan kandungan anak itu positif juga, antibodi dari ibu akan memasuki salur darah bayi dan memusnahkan sel darahnya. Bayi ini akan meninggal kerana kurang darah yang menyebabkan kegagalan fungsi jantung (lemah jantung). Bila dilahirkan, ia kelihatan bengkak kerana cecair berlebihan di dalam badan. Keadaan ini dinamakan 'Hydrops fetalis'.

Banyak kajian dilakukan mengenai masalah ini, sehingga sekarang jarang sangat ada kematian bayi berikutan masalah Rhesus. Mengikut kajian, lebih kurang 85% daripada kita mempunyai darah jenis rhesus positif. Namun , walaupun hanya 15% sahaja wanita yg mempunyai rhesus negetif, ada kemungkinan besar mereka akan mempunyai suami rhesus positif. Oleh kerana genetik rhesus bersifat dominan maka kemungkinan janin yg dikandung mempunyai rhesus positif juga adalah besar. Bagi suami yg mempunyai rhesus positif bersifat heterozigus maka setiap janin yg dikandung mempunyai risiko 1 : 2 untuk mempunyai rhesus positif. tetapi jika suami mempunyai rhesus positif bersifat homozigus, maka setiap janin yg dikandung akan mempunyai rhesus positif.

Adalah menjadi amalan biasa di semua klinik mengandung untuk memeriksa kumpulan darah ibu supaya mereka yang Rhesus negatif dikenal pasti. Mereka akan diminta membawa suami untuk diperiksa jenis darah mereka. Jika suami Rhesus positif, mereka akan dinasihati seperti demikian - bila sudah bersalin, darah anak akan diperiksa untuk mengenal pasti kumpulannya. Jika ia positif, ibu akan diberi satu suntikan dalam lingkungan masa 72 jam - suntikan ubat ini mengandungi imunoglobulin yang akan melindungi darah ibu dari membentuk antibodi kepada Rhesus positif. Ini akan diulangi tiap-tiap kali ia bersalin jika anaknya itu positif juga.

----------------------

#KataHati#
> Alhamdulillah, ibu dan abah Aisyah berdarah Rhesus Positif...so tiada Anti-D

----------------------

Info Dari : Majalah Harmoni , www.carigold.com , www.everybody.co.nz  www.clarian.org

Kuantiti Susu Mengikut Umur Bayi

Semasa lima atau enam bulan pertama, diet bayi terdiri daripada susu, sebaik - baiknya susu badan atau jika anda tidak dapat menyusu badan, menggunakan rumusan bayi yang khas.

Kebiasaannya seorang bayi yang baru lahir perlu disusukan setiap 3-4 jam. Apabila umurnya meningkat, masa antara penyusuan juga akan meningkat (memandangkan susu yang diminumnya berubah dan bayi juga minum lebih banyak pada setiap penyusuan).

Kebanyakan bayi akan mengikut satu corak penyusuan yang tersendiri. Di bawah adalah jadual yang menunjukkan bilangan pemakanan sehari secara teori. Angka yang dinyatakan hanyala anggaran sahaja. Mungkin bayi akan minum dengan kekerapan yang berbeza, atau lebih banyak pada waktu pagi dan kurang pada waktu malam.

Umur
Bilangan / Hari
Kuantiti
0 minggu
6x
70 ml
2 minggu
6x
80 ml
3 minggu
6x
90 ml
4 minggu
6x
100 ml
2 bulan
6x
110 ml
3 bulan
6x
120 ml
4 bulan
6x / 5x
150 ml


#Kata Hati#
> Aisyah awal - awal lagi dah minum sampai 3oz (lebih kurang 90ml) sebab tu berat badan dari 3.1kg naik 4kg dalam masa sebulan. Now, terpaksa bagi puting kosong untuk bagi Aisyah leka....:) 

Info Dari : happybaby

Rahsia RM435,200 Dalam 7 Bulan!

Ketahui Rahsia Bagaimana Mohd Nizam Menjana RM435,200 Dalam Masa 7 Bulan DiInternet, Tanpa Produk & Pengalaman! EKSKLUSIF! www.jutawanautomatik.com